Monday, January 11, 2010

Muzium Diraja Seri Menanti


Destasi ini terletak di Kuala Pilah. Anda harus teruskan perjalanan anda ke Kuala Pilah yang mengambil masa kira-kira 40 minit memandu. Muzium yang ditempatkan di Istana Lama Seri Menanti ini mesti dilawati kerana ia adalah istana unik yang diperbuat daripada kayu tanpa menggunakan paku oleh dua tukang Melayu yang bernama Kahar dan Taib.

Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Istana ini merupakan mercu tanda bukan sahaja kerana kehalusan kerja pembuatannya tetapi juga kerana nilai sejarahnya. Siap dibina pada tahun 1908, ia menjadi tempat bersemayam Yamtuan Besar Negeri Sembilan hingga awal 30-an.  




Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut. Pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga tahun 1992. Pada 14 Julai 1992, istana ini telah dirasmikan sebagai Muzium Diraja oleh DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.




Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.

Untuk keterangan lanjut tentang tempat-tempat menarik di Negeri Sembilan anda boleh menghubungi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan di talian 06-7659870.

(sumber diperolehi daripada www.gua.com.my)

No comments:

Post a Comment