Monday, January 11, 2010

Muzium Negeri Taman Seni Budaya


Muzium Negeri ini boleh dijadikan perhentian pertama anda sebaik sahaja tiba di Seremban. Tidak sukar mencari muzium ini kerana ia merupakan sebuah bangunan yang menonjolkan ciri-ciri Minangkabau. Bumbungnya kelihatan seperti tanduk kerbau. Bangunan muzium yang dikenali sebagai Teratak Perpatih ini terletak di Jalan Sungai Ujong. Dengan mengunjungi muzium ini, anda akan lebih jelas tentang corak pemerintahan Beraja di Negeri Sembilan. Ia unik kerana satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat Perpatih. Antara tarikan utama muzium ini ialah Galeri Setem dan Filateli, Galeri Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Negeri Sembilan, Rumah Contoh Negeri Sembilan dan Pameran Pra-Sejarah.  




Tidak jauh daripada bangunan muzium ini terletak Istana Ampang Tinggi yang dahulunya merupakan istana yang digunakan oleh Tunku Cindai, anakanda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-5, iaitu Yamtuan Ulin. Jangan lepaskan peluang menjenguk istana ini kerana ia cukup unik dan mempunyai ciri-ciri binaan Minangkabau. Selain itu, istana kayu ini juga terdiri daripada beberapa panel berukir halus dan sepasang pintu gelengsar berat yang tidak boleh ditemui di sebarang tempat di Semenanjung Malaysia pada masa ini.



Selain boleh dikunjungi, istana lama ini juga boleh dijadikan tempat untuk jamuan makan. Pengunjung yang datang secara berkumpulan boleh meminta pihak muzium menyediakan jamuan makan di istana ini dengan menghidangkan masakan tradisi Negeri Sembilan seperti Masak Lomak Cili Api dan Gulai Tempoyak. Bagaimanapun, jamuan seperti ini hanya boleh diadakan jika ia dibincang lebih awal. 

 

Hubungi:
Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Jalan Sungai Ujong
70200 Seremban
No Tel :
06-7631149
06-7643230
(sumber diperoleh gua.com.my)

No comments:

Post a Comment